Assalammualaikum dan selamat sejahtera

Selamat datang ke blog rasmi SK St. Paul, Tg. Tualang, Perak. Blog ini adalah untuk dijadikan rujukan para guru, ibu bapa dan murid-murid serta sesiapa sahaja yang ingin mengetahui maklumat dan aktiviti di SK St. Paul, Tg. Tualang, Perak. Kami mengalu-alukan sebarang pendapat atau cadangan mengenai blog ini.

Buletin

Guru bertugas pada minggu ini adalah Cikgu Wan dan Cikgu Shukri.


Pada hari Rabu ini akan diadakan Majlis Perpisahan mantan PK1, Encik Azahari bin Che In.


Jaga diri, patuhi SOP #kitajagakita

2013-10-05 Hari Kokurikulum dan Karnival 1 Murid 1 Sukan

   Pada 5 Oktober 2013, Unit Kokurikulum dan 1 Murid 1 Sukan SK St. Paul telah mengadakan Hari Kokurikulum dan Karnival 1 Murid 1 Sukan. Program ini melibatkan semua guru, staff dan murid-murid tahap 2. Beberapa aktiviti telah dirancang sempena hari tersebut.

Pada pukul 7.30, murid-murid telah berkumpul di tapak perhimpunan sekolah. Mereka bersarapan dahulu di kantin sekolah sebelum diberi taklimat tentang aktiviti-aktiviti yang akan diadakan.

Karnival 1 Murid 1 Sukan adalah aktiviti yang dirancang sempena Dasar I Murid 1 Sukan yang menggalakkan murid-murid menyertai sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Karnival ini diadakan untuk mempromosikan sukan dalam kalangan murid selain meningkatkan kecergasan dan perhubungan sesasama murid. Pertandingan Futsal diadakan untuk murid-murid lelaki manakala Pertandingan Bola Baling diadakan untuk murid-murid perempuan. Kedua-dua pertandingan bermula pada pukul 9 pagi. 

Pertandingan Futsal diadakan di Gelanggang Futsal Komuniti Tanjong Tualang. Pertandingan dikelolakan oleh Encik Mohd Shukri bin Sulaiman. Encik Khairul Aznam bin Razali dan Encik Zainal Abadin bin Ahmad dijemput sebagai pengadil. Sebanyak 12 kumpulan yang bertanding dalam pertandingan yang diadakan secara liga ini.

Pertandingan Bola Baling pula diadakan di padang sekolah. Pertandingan dikelolakan oleh Cik Elly Yuzreeza binti Othman. Cik Khairunnisak binti Mior Aziz dan Puan Aida binti Tahir dijemput sebagai pengadil. Sebanyak lapan kumpulan yang bertanding dalam pertandingan yang diadakan secara kalah-mati ini.




Pertandingan berhenti seketika pada pukul 10 untuk makan pagi. Kemudian, pertandingan peringkat separuh akhir dan pertandingan akhir diadakan. 

Pertandingan tamat pada pukul 12.30 tengah hari. Semua guru dan murid makan tengah hari di kantin sekolah. Kemudian, murid-murid diberi kesempatan membersihkan diri dan solat Zohor.


Pada pukul 2 petang, murid-murid berkumpul di tapak perhimpunan. Encik Khairul Aznam memberikan demonstrasi mendirikan dan membuka khemah. Murid-murid turut diberi peluang untuk mencuba.

Aktiviti seterusnya adalah acara memasak mi segera berkumpulan. Murid-murid berkumpul mengikut kumpulan yang telah ditetapkan sebelum ini. Mereka diberi taklimat ringkas oleh Encik Khairul Aznam. Kemudian, mereka membawa alatan memasak yang dibawa dari rumah ke lokasi memasak iaitu di tepi padang sekolah. Bahan-bahan yang disediakan oleh pihak sekolah telah diagih-agihkan sama banyak pada setiap kumpulan. Semua guru bertindak sebagai fasilitator untuk memantau dan memastikan keselamatan murid semasa memasak.


Setelah mi segera siap dimasak, murid-murid makan bersama-sama dalam kumpulan. Guru juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati hasil masakan murid-murid.



 Setelah selesai semua aktiviti, semua murid dan guru berkumpul di kantin. Ucapan penutupan diberikan oleh PK Kokurikulum, Encik Khairul Aznam. Kemudian, PK Pentadibiran, Puan Seniyati telah menyempurnakan sesi penyampaian hadiah.

Keputusan Pertandingan Futsal
Tempat pertama: Kumpulan 2
Tempat kedua: Kumpulan 1
Tempat ketiga: Kumpulan 5

Keputusan Pertandingan Bola Baling
Tempat pertama: Kumpulan F
Tempat kedua: Kumpulan C
Tempat ketiga: Kumpulan H








Alhamdulillah, Hari Kokurikulum dan Karnival 1 Murid 1 Sukan SK St. Paul 2013 telah berjalan dengan lancar. Terima kasih diucapkan kepada semua guru, staff dan murid-murid yang telah memberikan kerjasama untuk menjayakannya. Semoga program seperti ini akan diadakan lagi tahun depan.



Lensa:
Puan Seniyati
Cik Elly
Syamsina

Cari